mutakhir

Guna perang ideologi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Ancaman keganasan tidak hanya ditangani dan bergantung pada keupayaan peralatan serta pasukan keselamatan saja, sebaliknya perlu memenanginya melalui perang idealogi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, insiden serangan pengganas yang berlaku di beberapa negara termasuk di Kabul, Manchester, Marawi, Manila, Jakarta dan London adalah ancaman serius dan amat menyedihkan kerana membabitkan kehilangan ramai nyawa.

Beliau berkata, biarpun kejadian (insiden serangan keganasan) seumpama itu tidak berlaku di Malaysia namun, ancaman keganasan berkenaan perlu ditangani.

“Alhamdulillah, setakat ini, ia tidak berlaku di negara kita. Usaha memerangi ancaman ini bukanlah dengan alat, tentera, polis dan kuasa penangkapan saja.

“Sebaliknya, kita mahu memenanginya menerusi perang ideologi. Justeru, perlu untuk memahami apakah Islam itu sebenarnya dan apakah tuntutan Islam pada kita,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin buat kali pertama menghadiri perhimpunan bulanan JPM selepas dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada April lalu.

Sambil memetik ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah, Najib turut meminta agar peringatan Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam surah berkenaan diambil sebagai panduan, sekali gus menjadikan Malaysia aman dan sentiasa mendapat rahmat supaya dapat menjalankan tugas bagi membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Malaysia tidak memerlukan golongan yang berpura-pura melakukan kebaikan, tetapi membawa kerosakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:12am
d