mutakhir

Ibu tua, anak OKU huni rumah usang

Kangar: Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan hidup dalam kesempitan di rumah usang di Kampung Bakau, di sini.

Aishah Teh, 82, dan anaknya, Rafidah Dahaman, 45, bergantung hidup kepada anak lelakinya, Bakri Dahaman, 49, yang berulang-alik setiap hari dari Santan, di sini, untuk menghantar makanan kepada mereka berdua.

Rafidah baru mengalami masalah penglihatan sejak beberapa bulan lalu manakala Aishah tidak mampu berjalan dengan sempurna kerana masalah tulang belakang.

Aishah berkata, perbelanjaan harian diperoleh melalui bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas nama anak bongsunya.

“Sebelum ini, anak kedua yang tinggal di sebelah rumah menyara kami dengan mengambil upah membuat kraf tangan.

“Bagaimanapun, keadaannya yang buta membuatkan kami bersimpati kerana dia terpaksa menanggung tiga anaknya melalui hasil membuat kraf tangan,” katanya.

Menurut Aishah, kini tanggungjawab menguruskan dia dan Rafidah digalas Bakri.

“Bakri berulang-alik dari Santan setiap hari untuk menghantar makanan kepada kami berdua.

“Saya mempunyai tiga anak lain, namun atas faktor kemiskinan saya menyerahkan mereka ketika kecil,” katanya selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force datang menziarahi mereka dan menghulurkan bantuan, semalam.

Jurucakap Third Force berkata, Aishah antara 30 penerima bantuan Ramadan di Perlis tahun ini.

Katanya, organisasi itu mengumpul dana bagi membantu golongan miskin dan yang memerlukan menyambut Ramadan serta Aidilfitri.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:35am
d