mutakhir

Berbaloi panggang dalam tin

Kuala Nerus: Idea kreatif seorang pemuda membakar ayam di dalam tin bagi mengembalikan nostalgia ketika zaman kanak-kanak, memberi hasil lumayan apabila dia mampu meraih sehingga RM2,000 sehari hasil jualan berkenaan.

Mohd Aisamuddin Razak, 29, dari Kampung Tok Jiring tidak menyangka ideanya menjual ayam panggang di dalam tin mendapat sambutan luar biasa daripada pelangan.

“Pada peringkat permulaan, saya sekadar mencuba berniaga ayam panggang sempena Ramadan bagi menambah pendapatan, sekali gus membuat persiapan hari raya.

“Memandangkan sudah ramai peniaga yang menjual ayam panggang melalui kaedah ayam pusing, saya mengambil inisiatif memanggang ayam di dalam tin seperti yang pernah dibuat ketika zaman kanak-kanak bagi mencipta kelainan.

“Pada peringkat awal, saya hanya menyediakan enam tin untuk memanggang ayam namun terpaksa menambah 21 tin lagi berikutan sambutan menggalakkan pada hari pertama,” katanya ketika ditemui Harian Metro di gerai jualan Ayam Teng JJJ di Taman Mahadir, Gong Badak, semalam.

Mohd Aisamudin atau lebih mesra dipanggil Budin Jambol berkata, ayam tin yang dijualnya mendapat sambutan menggalakkan kerana keunikan dan kaedah membakar ayam itu lain daripada yang lain.

“Sebanyak 80 hingga 90 ekor ayam dijual setiap hari. Ia memang memberi pulangan berbaloi biarpun terpaksa memulakan operasi membakar ayam seawal jam 1 tengah hari dan menamatkan perniagaan sehingga jam 7 petang,” katanya yang menjual ayam tin dengan harga RM24 seekor.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:39am
d