mutakhir

Dugaan nak sambut raya

Oleh Hamzah Osman

DUGAAN menjelang Syawal buat satu keluarga apabila tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kolam Udang, Jalan Bukit Malut, Langkawi, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada jam 9.57 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Menurutnya, tiga pegawai bersama 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi berserta dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati kebakaran sebuah rumah satu tingkat yang dibina atas air, sudah 90 peratus musnah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 11.14 pagi dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 1:15pm
d