mutakhir

Keldai dadah kantoi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS merampas dadah heroin seberat 2.6 kilogram bernilai RM400,000 dan menahan tiga keldai dadah berusia 19 hingga 22 tahun di Jeti Kuah, Langkawi jam 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, tiga suspek terdiri seorang lelaki dan dua wanita ditahan selepas cuba menyeludup dadah itu yang disembunyikan di dalam beg kitar semula sebaik tiba di jeti terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian itu, wanita berusia 22 tahun itu membawa beg kitar semula itu dan hasil pemeriksaan menemui enam bungkusan dibalut surat khabar.

“Kita percaya dadah ini diperoleh dari Pulau Pinang dan mereka ini dijadikan keldai dadah untuk diserahkan kepada sindiket di Langkawi dengan bayaran upah sekitar RM1,000 ke RM3,000 seorang.

“Dadah ini untuk pasaran di sekitar Bukit Malut dan Taman Nilam yang menjadi ‘port’ penagihan dadah di Langkawi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kedah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Asri berkata, dua wanita terbabit berasal dari Perlis manakala lelaki itu berasal dari Pendang dipercayai sudah melakukan kegiatan ini sebanyak tiga kali melalui risikan yang dijalankan.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah syabu dan semua mereka direman bermula hari ini hingga 12 Jun .

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, Langkawi juga dikenal pasti kawasan laluan sindiket pengedaran dadah berikutan kedudukannya yang dekat dengan negara jiran.

“Kita juga akan mempertingkatkan di kawasan perairan bagi membendung sindiket dadah menyeludup dadah ke negara ini.

"Mereka ini (sindiket) sanggup menyamar sebagai nelayan dan pemancing bagi menjalankan aktiviti penyeludupan dadah selain laluan laut dari Thailand ke Langkawi hanya mengambil masa sejam menyebabkan mereka menggunakannya untuk menyeludup.

Terdahulu pada majlis itu Asri menyaksikan serah terima tugas antara Datuk Abu Bakar Ahmad yang bersara wajib dengan Senior Asisten Komisioner Baharuddin Ahmad.

Baharudin sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Kedah sejak lima tahun lalu.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:26pm
d