mutakhir

52 warga asing didakwa di mahkamah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 52 warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk masuk ke Malaysia.

Di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias, seramai 22 warga China termasuk tujuh wanita dan enam lelaki Taiwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 11 daripada mereka didakwa tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke dalam Malaysia di sebuah balai polis pada 1 Jun lalu.

Manakala, 17 lagi didakwa atas tuduhan sama di Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, pada 24 Mei lalu.

Di mahkamah berasingan, seramai 24 warga China termasuk 10 wanita mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama juga di Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, pada 24 Mei lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan penterjemah dalam bahasa Mandarin.

Semua 52 tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya atau boleh dikenakan sebatan sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala 11 daripada tertuduh diwakili peguam R Babu dan yang lain tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh tidak dibenarkan sebarang ikat jamin dan kedua-dua mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi 11 tertuduh yang diwakili peguam, manakala 12 Julai untuk sebutan semula bagi tertuduh yang lain.

Difahamkan, semua tertuduh itu ditahan pada 25 Mei lalu dalam enam serbuan berasingan berhubung sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam.

Ketika serbuan itu, seramai 55 ditahan termasuk tiga rakyat tempatan.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:30pm
d