mutakhir

MAIK terus bantu pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersedia memberi bantuan tambahan kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Tualang yang cedera dan sedang mendapatkan rawatan di hospital susulan kemalangan Jumaat lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, sebelum ini pihaknya menyumbangkan RM1,000 kepada ibu bapa pelajar yang meninggal dan RM500 kepada mereka yang tercedera.

Katanya, beliau difahamkan oleh Pengasas Maahad Tahfiz, Datuk Adnan Hashim bahawa ada di antara pelajarnya terdiri daripada golongan yang memerlukan.

"Sekiranya ada pelajar masih mendapatkan rawatan dan memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh berhubung dengan pihak kami.

"Insya-Allah MAIK akan meneliti perkara ini dari semasa ke semasa untuk dipertimbangkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Telekom Malaysia (TM) Berhad di Pejabat MAIK, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menerima cek zakat perniagaan TM Berhad berjumlah RM225,141 yang diserahkan oleh Pengurus Besar TM Berhad Cawangan Kelantan, Azman Yusof.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Azlan berkata, pihaknya turut merasai kesedihan yang dialami keluarga dan rakan pelajar terbabit.

Katanya, kematian mereka adalah satu kehilangan yang besar kerana mereka adalah aset berharga kepada negara.

Harian Metro melaporkan, van Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang membawa 12 pelajar tahfiz dan dua guru untuk ke program tafsir dan bacaan al-Quran di Kota Bharu, terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai, Jumaat lalu.

Kemalangan itu menyebabkan tujuh pelajar tahfiz maut. Tujuh mangsa yang lain cedera dan menerima rawatan di hospital.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 5:39pm
d