mutakhir

Empat geng samun tumpas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

POLIS Pahang menumpaskan empat kumpulan samun di negeri ini dan menahan 10 individu termasuk remaja perempuan dalam beberapa serbuan di Kuantan dan Temerloh, minggu lalu.

Empat kumpulan berkenaan iaitu Geng Afiq Sungai Ular, Geng Fakhrul Balok 7 Eleven dan Geng Norman bergiat aktif di bandar ini manakala Geng Black menjalankan kegiatan itu di Temerloh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kumpulan berkenaan menjadikan kedai serbaneka 24 jam sebagai sasaran kerana ia dilihat dan tidak memberi ancaman terhadap keselamatan suspek ketika melakukan aktiviti jenayah.

Kes pertama membabitkan tangkapan dua suspek Geng Afiq Sungai Ular semalam yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang penuntut institut pengajian tinggi di Gebeng, Sabtu lalu.

"Dua suspek berusia antara 20 dan 33 tahun itu menyamun dan menikam penuntut lelaki berkenaan selepas mangsa dikatakan enggan menyerahkan barang berharganya dan berlaku pergelutan.

"Mangsa masih menerima rawatan diHospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan keadannya dilaporkan stabil," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, dalam serbuan ke rumah suspek, polis turut menemui barangan hasil jenayah samun antaranya empat unit telefon bimbit, dompet serta kad bank.

Raja Shahrom berkata, tiga lagi kumpulan yang tumpas ialah Geng Fakrul 7E dengan tiga ahli berusia antara 20 hingga 26 tahun yang terbabit dalam kes samun bersenjata jalanan dan kedai serbaneka sekitar Kuantan, Geng Norman bersama tiga orang suspek berusia antara 24 hingga 55 tahun yang juga menjadikan Kuantan sebagai lokasi melakukan jenayah mereka.

Katanya, satu lagi kumpulan dikenali Geng Black ditahan di ibu negara pada Ahad lalu, selepas dipercayai melakukan jenayah samun bersenjata di kedai serbaneka di Temerloh, pada 2 Jun lalu, kira-kira jam 2.50 pagi.

"Semua tangkapan adalah hasil maklumat awam dan risikan kami, Geng Black diberkas dengan kerjasama pegawai dan anggota PDRM Bukit Aman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, kita tahan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun, seorang daripada suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan dadah," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 6:21pm
d