mutakhir

Pelaburan TH untuk manfaat pendeposit

Oleh Harun Yahya

PEMBABITAN Tabung Haji (TH) daripada segi pelaburan dan perniagaan dalam sektor ekonomi bertujuan menjana pulangan dalam bentuk hibah kepada pendepositnya.

Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, pembabitan TH dalam sektor ekonomi itu juga bagi membolehkan pihaknya mengeluarkan zakat kepada Majlis Agama Islam atau Pusat Pungutan Zakat negeri di seluruh negara setiap tahun.

Menurutnya, TH juga antara pembayar zakat terbesar dalam negara dengan jumlah zakat keseluruhan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM60 juta.

“Kami turut mengadakan program pemberian subsidi haji kepada bakal jemaah setiap tahun dan ia antara pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan TH.

“Subsidi disediakan ini membantu mengekalkan bayaran haji kekal RM9,980 bagi setiap jemaah walaupun kos sebenar meningkat saban tahun.

“Menjelang musim haji tahun ini, bersamaan 1438 hijrah kali ini, TH dijangka mengeluarkan subsidi berjumlah RM260 juta,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Haji di Dewan Kompleks Islam Sibu di Sibu, hari ini.

Mengenai program itu, Shukry berkata, RM70,000 sudah diagihkan kepada 140 penerima terdiri daripada ibu bapa tunggal, warga emas, orang kurang upaya, asnaf dan fakir miskin.

“Ia sebahagian daripada sasaran agihan sebanyak RM970,500 kepada lebih 1,900 penerima di seluruh negara.

“Saya berharap bantuan seperti ini dapat memberi sedikit keceriaan kepada penerima menjelang Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 6:51pm
d