mutakhir

EX KD Rahmat sudah ditegakkan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KAPAL muzium EX Kapal Diraja (KD) Rahmat yang mengalami kebocoran sehingga menyebabkan struktur kapal itu senget dan hampir tenggelam di pesisir Marina Waterfront, Lumut sudah ditegakkan semula pada 4 pagi semalam.

Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, ia adalah daripada pelaksanaan kerja di peringkat fasa pertama iaitu mengepam air keluar dari kapal secara berterusan sejak kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati air dipercayai masuk melalui beberapa bahagian atau injap yang lama dan sudah rosak, paip patah dan beberapa kerosakan lain.

"Usaha yang dilakukan secara berterusan selama 24 jam menunjukkan perubahan yang sangat baik dan EX KD Rahmat berjaya ditegakkan semula seperti asal.

"Ia bukan satu yang mudah kerana memerlukan kerja yang teratur dan dilakukan dengan tenaga pakar teknikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Beliau berkata, setakat ini keadaan terkawal dan pihaknya melalui penyelam TLDM sudah mengenal pasti bahagian yang bocor dan ada beberapa bahagian sudah ditampal di luar dan dalam kapal.

"Kita masih lagi dalam kajian di setiap bahagian dan setakat ini, air di dalam kapal juga sudah kering sepenuhnya dan ketika ini kami menjalankan langkah pengawasan di kapal ini," katanya pada sesi lawatan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke kapal berkenaan di Waterfront, Lumut, hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri melalui jawatankuasa khas akan berbincang dengan TLDM dalam memastikan kedudukan dan hala tuju EX KD Rahmat.

Menurutnya, kapal berkenaan menjadi antara tarikan ekosistem di bandar Lumut sebagai Bandar Tentera Laut yang dirancang ketika di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dulu.

"Pada ketika itu, kerajaan negeri sudah membuat penilaian kos sama ada mampu atau tidak dan akhirnya kerajaan negeri menggunakan pendekatan hubungan strategik antara pihak swasta dan kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 7:05pm
d