mutakhir

Sembunyikan ular sawa di kubur

Oleh Junaidi Ladjana

 

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terkejut apabila ular sawa yang hendak ditangkap di Kampung Cempaka 1, Likas, Kota Kinabalu dekat sini, hari ini tiba-tiba 'hilang' dipercayai disembunyikan oleh penduduk kampung.

Pada kejadian jam 3.30 petang, penduduk terbabit dipercayai menyembunyikan reptilia itu untuk dijual. 

Bagaimanapun, selepas hampir sejam mencari dengan dibantu anggota polis, ular berkenaan akhirnya ditemui di kawasan tanah perkuburan berhampiran kampung berkenaan.

Pegawai APM Kota Kinabalu Maxwell Panchai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.37 petang berkaitan penemuan ular terbabit.

“Pengadu memaklumkan seekor ular sawa masuk ke rumahnya dan menelan seekor kucing sebelum menghubungi APM.

“Anggota APM yang tiba di lokasi dimaklumkan ular itu sudah ditangkap oleh penduduk tetapi hilang kerana dipercayai disembunyikan.

“Kami berusaha mencari reptilia itu dengan dibantu dua anggota polis dan selepas hampir sejam mencari, ia ditemui dalam guni di celah pokok di tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ular sawa seberat hampir 35 kilogram itu dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 8:55pm
d