mutakhir

Dah lali disengat lebah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TEH Bunga Beratur di bazar Ramadan Stadium Darulaman, Alor Setar bukan saja menjadi tumpuan pengunjung setiap tahun malah ramuannya yang dicampur madu menyebabkan gerainya turut didatangi ratusan lebah.

Pemilik gerai, Zaidi Zainol Abidin, 50, berkata, disebabkan penggunaan madu yang banyak, lebah datang ke gerainya hingga menjadi tarikan pelanggan datang ke situ.

Katanya, dengan bantuan empat pekerjanya, mereka bukan saja sudah lali disengat lebah malah sudah tidak hairan dengan kehadiran serangga itu yang dianggap sebagai rezeki.

"Ada juga lebah yang masuk ke dalam minuman ini tetapi ia tidak membahayakan kesihatan malah pelanggan sudah biasa membawa pulang air minuman teh bunga dengan percuma lebah.

"Bila sampai di rumah, mereka akan tapis dan buang lebah itu sebelum minum malah air teh bunga ini dijual ini tidak mahal cuma berharga RM2 sebungkus," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan di sini hari ini.

Menurutnya, antara keistimewaan air teh bunga yang dihasilkannya adalah lebihan madu yang digunakan selain ramuan lain ciptaan sendiri sehingga menarik minat pelanggannya.

Dia berkata, setiap hari dia akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20 hingga 25 tong air teh bunga dan dijual sekitar 3 petang hingga 7 malam.

"Dalam sehari boleh la dapat dalam RM800 hingga RM900 tetapi bergantung pada pelanggan yang datang.

"Tetapi Alhamdulillah, setiap hari air teh bunga ini habis malah ramai dalam kalangan mereka yang datang adalah pelanggan tetap saya.

"Saya hanya menjalankan perniagaan air teh bunga ini pada bulan Ramadan dan kalau nak rasa lagi, kena tunggu bulan puasa tahun depan pulak la," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 10:00pm
d