mutakhir

Seronok tunjuk bakat seni

Kuala Lumpur: Luahan seni di atas kanvas jelas menunjukkan semangat tinggi kanak-kanak Celebral Palsy (CP) atau lumpuh otak di Step and Smile Pusat Pendidikan Konduktif Kanak-Kanak Palsi Serebral, Plaza Damas 3, di sini, semalam.

Seramai 15 kanak-kanak itu lincah bermain warna meskipun fizikal mereka perlu dibantu dan disokong ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Mereka antara tujuh misi yang direalisasikan oleh Skuad Terima Kasih (STK) menerusi program Rantaian Kasih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad.

Rantaian Kasih adalah program tanggungjawab sosial yang dilancarkan pada 1 Jun lalu sebagai inisiatif untuk memupuk kesedaran bahawa kebaikan boleh dilakukan tanpa mengira siapa atau keadaan seseorang.

Duta Skuad Terima Kasih, Fiza Sabjahan berkata, ini adalah misi kedua dan ia membabitkan sebilangan kanak-kanak CP.

“Program hari ini (semalam) mendapat kerjasama yang baik dan mereka kelihatan seronok apabila dapat bergaul dengan masyarakat luar.

“Pada misi pertama, golongan kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berpeluang beramal dengan cara membacakan buku-buku cerita kepada kanak-kanak yang ada.

“Justeru, kekurangan fizikal seseorang tidak menghalang masyarakat daripada melakukan kerja amal,” katanya.

Menerusi program ini, tujuh pertubuhan iaitu Majlis Bagi Orang Buta Malaysia, Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), Persatuan Pengasih Malaysia, Persatuan Orang Pekak Johor Bahru, Spinal Muscular Athropy (SMA), Jabatan Penjara Malaysia dan Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) berkolaborasi bersama duta Skuad Terima Kasih dalam beberapa misi bagi menyebarkan kasih sayang dan kebaikan sesama kita sebagai tanda terima kasih.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 5:06am
d