mutakhir

Simpang maut

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Puncak Alam: Simpang tiga Fasa 2, Bandar Puncak Alam di sini, dikenali sebagai ‘simpang maut’ oleh penduduk setempat berikutan kekerapan berlaku kemalangan jalan raya.

Walaupun pihak berkaitan menyediakan garisan kuning dikenali sebagai ‘speed breaker’, lebih 10 kemalangan didakwa masih berlaku di kawasan berkenaan.

Terbaru, kelmarin, dua kereta masing-masing mahu memasuki itu simpang dan menghala lurus ke Fasa 3 bertembung di persimpangan berkenaan.

Justeru, bagi mengelak ia berterusan, penduduk mengharapkan penyelesaian dapat dilakukan antaranya dengan membina bonggol di kawasan terbabit.

Penduduk, Bakhtiar Dollah, 54, mengakui tidak menyangka kemalangan turut menimpa anaknya, Mohd Faiz, 25, walaupun kerap berbincang untuk menyelesaikan masalah itu bersama komuniti setempat.

“Semalam (kelmarin), anak saya tidak menyedari kehadiran sebuah kereta lain yang menuju ke Fasa 3 itu dan terus berlanggar. Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Tidak dinafikan simpang berkenaan sememangnya mengelirukan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, sikap segelintir pengguna memandu laju dari bulatan Fasa 1 menghala ke Fasa 2 juga membahayakan pengguna lain terutama yang ingin memasuki simpang atau membuat pusingan U di situ.

Bagi penduduk, Noor Hisham Mat Zain, 50, dia yang berniaga berdekatan persimpangan itu sering menyaksikan kemalangan di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 11 kemalangan dilaporkan berlaku dan penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan namun tiada tindakan dibuat.

“Walaupun ada ‘speed breaker’, pemandu tetap memandu laju dan tidak menghiraukan kenderaan lain,” katanya yang mencadangkan pembinaan bonggol di kawasan itu untuk mengurangkan kemalangan.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 5:07am
d