mutakhir

2.2 juta terima MYTV

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan dekoder MYTV yang bercirikan televisyen terestrial digital (DTT) atau dikenali sebagai myFreeview secara percuma kepada 2.2 juta isi rumah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pemberian secara berperingkat itu akan diagihkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ia sebagai penambahan daripada dua juta dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd menjadikan keseluruhan 4.2 juta dekoder percuma untuk isi rumah.

“Menerusi siaran digital ini rakyat Malaysia akan dapat melihat siaran terbaik pelbagai gaya hidup tanpa perbezaan di mana saja mereka berada,” katanya ketika berucap melancarkan myFreeview di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

myFreeView diwujudkan hasil pemindahan sistem analog ke siaran digital sepenuhnya yang memberi peluang kepada penonton menikmati resolusi gambar lebih baik dan jelas.

Pertukaran kepada TV digital itu adalah perubahan terbesar dalam sejarah penyiaran sejak televisyen berwarna diperkenalkan 39 tahun lalu.

Orang ramai juga mempunyai pilihan untuk menggunakan televisyen digital bersepadu (iDTV) yang lengkap dengan penala digital bagi menikmati pengalaman menonton yang berkualiti tinggi.

Najib berkata, myFreeview bukan saja merapatkan jurang digital antara rakyat, malah menyediakan banyak saluran percuma dalam pelbagai bahasa dengan kualiti lebih baik.

“Ia akan turut memberi akses kepada perkhidmatan televisyen interaktif seperti membeli-belah, mendengar radio dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, myFreeview juga akan membuka peluang kepada pekerjaan industri kreatif dan penyediaan kandungan.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 5:53am
d