mutakhir

Kongsi rezeki berbuka puasa [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Harian Metro meneruskan program amal yang memasuki tahun kedua dengan pengagihan 11,000 kotak rezeki kepada golongan memerlukan menerusi #HMKotakRezeki2017.

Sejumlah 10,000 kotak rezeki kecil yang mengandungi kurma, makanan dan minuman itu akan diedarkan secara percuma kepada individu yang bekerja melangkaui waktu berbuka puasa.

Sebanyak 1,000 kotak rezeki besar yang mengandungi minyak masak, beras, tepung, gula dan susu bakal diterima 36 rumah kebajikan, rumah anak yatim, madrasah, pusat tahfiz dan keluarga miskin di 12 negeri seluruh negara.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, pengagihan kotak rezeki yang mendapat tajaan utama Affin Islamic Bank itu merangkumi dua fasa.

“Fasa pertama dilaksanakan bermula hari ini (semalam) di wilayah Utara iaitu Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sebelum disusuli wilayah timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Pengagihan kemudian bergerak ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, sebelum berakhir di Lembah Klang.

“Sebagai permulaan pada fasa pertama ini, 360 kotak rezeki keluarga diedarkan kepada tiga rumah di setiap negeri yang disenaraikan. Sebanyak 7,000 kotak rezeki diberikan kepada individu yang bekerja melangkaui waktu berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan #HMKotakRezeki2017 di pekarangan Balai Berita Shah Alam, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad @ Salim Bachok, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Ferdaus Toh Abdullah.

Kata Mustapa, Poslaju sebagai rakan kurier #HMKotakRezeki2017 turut memulakan proses penghantaran barangan ke lokasi di setiap negeri bermula semalam.

“Pemberian kotak rezeki itu diagihkan mengikut kawasan dan fasa disenaraikan. Sebanyak 13 van iaitu 10 Poslaju dan tiga van NSTP digerakkan bagi melancarkan pengagihan yang dijangka berakhir sebelum Aidilfitri.

“Fasa kedua dijangka dimulakan pada minggu ketiga Ramadan ini,” katanya.

Barangan disumbangkan adalah tajaan pasaraya Giant, Watsons Malaysia, Lifebuoy, Richwell, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd dan Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 11:03am
d