mutakhir

Ajal mahu ke pasar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG wanita maut manakala ibu dan sepupunya cedera selepas Proton Saga dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam sungai di Kampung Pida 6, Jalan Kodiang-Sanglang, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Che Wa Ismail, 58, meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya Aisyah Shaari, 70, dan sepupu mangsa, Che Hasnah Ahmad, 60, yang memandu kereta itu dihantar ke Hospital Jitra akibat kecederaan yang dialami.

Adik ipar mangsa, Shariah Husain, 54, berkata, mereka dipercayai dalam perjalanan ke pasar pagi di Kodiang berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas pulang dari surau berhampiran rumahnya di Padang Perahu sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati kakak iparnya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Komander Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Adnan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.42 pagi.

Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Jitra tiba di lokasi dan memastikan keadaan di lokasi terkawal.

"Setibanya di lokasi didapati ketiga-tiga mangsa termasuk yang meninggal dunia sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dua yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans hospital manakala mangsa yang meninggal itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 3:53pm
d