mutakhir

Rampas mercun bernilai RM40,000 [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS merampas pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM40,000 dalam tiga serbuan di sekitar daerah Kuala Terengganu bermula Sabtu lalu hingga awal pagi ini.

Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki berusia 17 hingga 46 tahun masing-masing di Bazar Ramadan Batu 6, Kampung Padang Gong Tok Nasek dan Kampung Tok Molor.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, serbuan pertama di Bazar Ramadan Batu 6 menahan dua lelaki berusia 17 dan 29 tahun sebelum merampas pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM2,000 kira-kira 9 malam pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Padang Gong Tok Nasek pada 2.28 pagi semalam membabitkan rampasan bernilai RM12,000.

"Dalam serbuan ketiga, seorang lelaki dipercayai pengedar mercun untuk pasaran Kuala Terengganu ditahan di dalam sebuah van bersama mercun yang dianggarkan bernilai RM24,000.

"Ketika ditahan, suspek memaklumkan baru saja berjumpa pembekal mercun berkenaan.

"Empat lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 4:38pm
d