mutakhir

Sila tampil bantu siasatan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes lelaki berusia 31 tahun yang dipukul sehingga maut selepas didakwa mencabul wanita di dalam tandas di tingkat satu kompleks beli-belah di Jalan Putra, Alor Setar, 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dua individu terbabit ialah Mohd Aiman Zamani Abd Wahab, 30, atau dikenali Boy berasal dari Bagan Dalam, Pulau Pinang dan Muhamad Taharin Abd Hamid berasal dari Taman Sri Kota, Kuala Kedah.

Menurutnya, mereka diminta menyerah diri bagi membantu siasatan susulan kematian lelaki yang dipukul sehingga maut selepas didakwa mencabul seorang wanita.

"Jika mereka masih enggan berbuat sedemikian, kita akan memburu dan menahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu ini diminta tampil membantu polis atau menghubungi balai polis berhampiran," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, setakat ini, enam individu sudah ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan.

Portal berita Harian Metro 30 Mei lalu melaporkan lelaki yang koma dibelasah kerana didakwa mencabul seorang wanita dalam tandas sebuah pusat beli-belah meninggal dunia jam 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian jam 4 petang, 28 Mei lalu, wanita berusia 21 tahun mendakwa dicabul ketika masuk ke tandas di tingkat satu.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 5:25pm
d