mutakhir

Derita setengah jam

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI warga emas terpaksa menahan sakit setengah jam selepas kemaluannya tersepit pada kerusi yang digunakannya untuk mandi di bilik air rumahnya di Jalan Jalong, Kampung Baru Simpang Jalong, Sungai Siput, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, mangsa berusia 80 tahun dipercayai duduk di kerusi itu untuk mandi kerana sudah uzur sebelum kemaluannya termasuk ke dalam lubang kerusi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Mohammad Zaidi Md Lazim Tuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa 6.43 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati kemaluan mangsa masih tersepit pada kerusi berkenaan.

Katanya, anggota menggunakan alatan khas untuk menarik bahagian lubang kerusi itu sebelum mengeluarkan kemaluan mangsa.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) Bomba.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya 7.18 malam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 8:41pm
d