mutakhir

Pelantikan Idris Jala tepat, sesuai

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PELANTIKAN bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas menangani kemelut melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dilihat tepat dan sesuai pada masanya.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pemilihan itu.

"Saya meminta supaya Datuk Idris Jala bertindak dengan penuh bebas dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa dalam kemelut FGV.

"Malah melalui pemilihan ini, saya juga berharap supaya siasatan yang dilakukan mestilah telus untuk memastikan mereka yang terbabit tidak terlepas sekiranya berlaku penyelewengan," katanya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran JASA negeri Kedah dan Perlis di Kangar, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dalam saat ini rakyat tertanya-tanya dan semestinya mereka mengharapkan ketelusan dalam siasatan terhadap kemelut FGV.

Sementara itu, Mohd Puad sekali lagi menegaskan bahawa Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV disarankan meletak jawatan berhubung peperangan terbuka antara mereka.

"Pergaduhan secara terbuka antara Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad dan CEO FGV, Datuk Zakaria Arshad amat mendukacitakan sama sekali dan perletakan jawatan oleh mereka berdua adalah jalan terbaik pada ketika ini ," katanya.

Semalam, Zakaria dan tiga lagi kakitangan pengurusan kanan FGV diarahkan bercuti iaitu Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), Kamarzaman Abd Karim.

Zakaria menerima surat semalam, ditandatangani Mohd Isa memaklumkan beliau dilepaskan daripada semua jawatan dalam FGV dan anak syarikat serta merta.

Terdahulu pada program itu, 30 anak yatim dari Kedah dan Perlis dirai dengan sumbangan Aidilfitri.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 10:54pm
d