mutakhir

Tambah 500 tangki air plastik

Oleh Aizat Sharif

KERAJAAN negeri Kedah bersetuju untuk menambah 500 lagi tangki air plastik yang mempunyai kapasiti 900 liter di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, dalam mesyuarat exco yang dijalankan pihaknya penambahan 500 daripada 1,000 tangki air plastik sebelum ini adalah untuk memastikan masyarakat atau keluarga yang tidak berkemampuan dapat menikmati sumber air di rumah masing-masing.

"Penambahan tangki air plastik diberikan kepada 36 kawasan DUN di negeri ini terutama kawasan yang begitu kritikal dalam menerima sumber air kerana kita tahu penggunaan bekalan air agak meningkat apabila Aidilfitri tiba dimana ramai orang yang pulang ke kampung halaman mereka di Kedah untuk berhari raya.

"Kerja menaik taraf lima loji rawatan air di negeri ini memakan belanja RM1 bilion dan memerlukan untuk disiapkan antara setahun hingga dua tahun.

"Selain itu juga, bagi persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang, kita sudah pun mempersiapkan bekalan air yang diperlukan di mana Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menyediakan lori mengangkut air untuk dibekalkan ke kawasan di mana penduduk menghadapi masalah bekalan air yang kritikal dan SADA perlu memastikan kesemua penduduk mendapat bekalan air berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa pihaknya memilih kasih dengan hanya memberi tangki air plastik itu kepada kawasan yang dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) sahaja.

"Itu tidak benar, kita mengagihkan tangki air plastik itu kepada semua 36 kawasan DUN di negeri ini.

"Kawasan di mana ADUN adalah dari pembangkang pula akan diberikan kepada Ketua Penyelaras DUN dari BN yang akan mengenal pasti penerima yang berhak untuk menerima agihan itu," katanya.

Dalam hal yang lain pula, Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri untuk penjawat awam di negeri itu pada minggu hadapan.

"Kita tahu kerajaan persekutuan sudah pun meluluskan bantuan khas berkenaan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam dan RM250 kepada bekas kakitangan kerajaan yang berpencen.

"Oleh hal demikian, bagi pegawai kerjaaan di negeri Kedah, kita akan berikan bantuan berkenaan berkemungkinan tidak kurang daripada RM500 yang akan kita umuumkan pada minggu hadapan terutama selepas satu lagi mesyuarat exco yang akan dijalankan ," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Bashah yang melakukan tinjauan ke atas Bazar Ramadan di kawasan Stadium Darulaman begitu berpuas hati dengan tahap kebersihan serta harga yang ditawarkan untuk makanan dan minuman yang dijual di situ.

Malah, beliau berkata perkembangan semasa di bazar Ramadan itu akan sentiasa dipantau oleh beberapa agensi seperti Jabatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 11:01pm
d