mutakhir

Jumpa semula dalam hutan

Amrullah Abdul Karim

LELAKI berusia 28 tahun yang dipercayai lari dari Pusat Serenti Tampoi, Johor ditemui di Hutan Bakawali berdekatan Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dalam keadaan cedera, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, pelatih itu dijumpai pasukan penyelamat jam 5 petang dengan mengalami kecederaan di kaki kiri akibat terseliuh dan turut keletihan.

"Kita menerima laporan kehilangan lelaki itu dari Balai Polis Bukit Sentosa sebelum operasi mencari dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kejadian itu pada awalnya disedari seorang penternak lembu yang memaklumkan kepada pasukan penyelamat kerana mengesyaki lelaki berkenaan sedang dicari polis," katanya.

Katanya, siasatan mendapati pelatih pusat serenti itu datang ke kawasan berkenaan untuk menemui seorang rakannya di sebuah rumah.

"Sejurus keluar dari kawasan rumah, dia mendakwa diekori sebuah kereta menyebabkannya melarikan diri ke hutan berkenaan.

"Lelaki itu kemudian mengaku lari dari Pusat Serenti Tampoi, Johor ketika dalam tempoh peralihan," katanya memaklumkan pelatih terbabit kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 11:30pm
d