mutakhir

Joli sakan kad palsu

Oleh BERNAMA

Sadao: Tiga lelaki rakyat Malaysia dikesan mengeluarkan 600,000 Baht (RM77,000) dari bank tempatan, di sini, menggunakan kad kredit dan ATM palsu serta membelanjakan semua wang itu sepanjang 28 hari mereka berada di Thailand.

Bagaimanapun, polis menahan ketiga-tiga mereka, dipercayai anggota sindiket kad kredit palsu itu di pusat Imigresen Danok petang semalam bersama-sama 30 kad kredit dan ATM palsu ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Ketua Polis Imigresen Wilayah Songkla Kol Sangkom Takso berkata, mereka berbelanja dengan mewah sepanjang 28 hari berada di Danok, Songkla dan Phuket sehingga habis semua wang itu.

Beliau berkata, penangkapan dilakukan dengan kerjasama Polis Bahagian Siasatan Jenayah Sadao selepas polis menerima laporan daripada bank yang menjadi mangsa lelaki terbabit.

“Mereka menemui 30 kad kredit dan kad ATM palsu, alat memalsu kad, senarai kod dan wang tunai daripada lelaki itu. Mereka turut merampas kenderaan pacuan empat roda dinaiki tiga lelaki itu yang berdaftar di Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, polis tempatan turut menerima pelbagai laporan daripada mangsa yang mengadu wang mereka 1,000 Baht (RM128) hingga 20,000 Baht (RM2,564) hilang daripada akaun bank mereka.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 3:07am
d