mutakhir

MBSA agih bubur lambuk, mangkuk tingkat

Shah Alam: Kemeriahan Ramadan dikongsi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama orang awam dan peniaga yang menerima bubur lambuk serta mangkuk tingkat di Bazar Ramadan Seksyen 13 di sini, kelmarin.

Ia antara inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi merapatkan hubungan bukan saja dengan masyarakat setempat malah penjaja bazar di bawah kelolaan MBSA.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, 800 bubur lambuk sumbangan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd dan Eco Adence Sdn Bhd itu diedarkan secara percuma.

“Selain itu, kita memberikan mangkuk tingkat kepada pengunjung bagi menyokong kempen Bebas Polisterina Shah Alam 2017.

“Peniaga turut dibekalkan dengan alat kelengkapan pengendalian makanan seperti apron, topi dan bekas makanan mesra alam sekitar,” katanya selepas program Bazar Ramadan Mampan Negeri Selangor 2017.

Perasmian program disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Kebebasan Maklumat negeri Elizabeth Wong.

Sepanjang Ramadan, MBSA mengeluarkan 2,070 permit di 35 tapak Bazar Ramadan.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 3:11am
d