mutakhir

Penternak culas

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir penternak membuang bangkai ke dalam sungai antara faktor utama wabak Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah merebak dengan cepat di daerah ini dan Marang.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, kawalan penyakit menjadi sukar apabila ada segelintir penternak yang mengambil jalan mudah seperti itu.

“Sepatutnya mereka menanam bangkai ternakan yang mati kerana HS sebagai langkah pencegahan penularan ke kawasan lain.

“Apabila bangkai ternakan berpenyakit dibuang ke dalam sungai, ia mencemarkan sungai selain air yang mengalir sebagai sumber minuman ternakan itu menjadi punca merebaknya penyakit ini di kawasan lain.

“Penyakit ini berjangkit melalui hubungan terus di antara ternakan dijangkiti wabak dengan ternakan lain, selain melalui air minuman,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Termizi berkata, faktor pemindahan ternakan yang berpenyakit ke kawasan lain juga antara penyebab penularan penyakit HS itu.

“Rata-rata penternak menganggap pemindahan ternakan yang dijangkiti ke kawasan lain memulihkan ternakan mereka sedangkan tindakan itu memburukkan keadaan.

“Ternakan yang menunjukkan tanda klinikal dijangkiti sukar dirawat dan pemberian vaksin tidak lagi berkesan untuk pencegahan, malah boleh menyebabkn komplikasi lebih teruk,” katanya.

Menurutnya, ternakan perlu divaksin sebelum dijangkiti penyakit itu, selain pemberian antibiotik pada peringkat awal.

“Kami sarankan penternak mengurung ternakan di dalam kandang dan hindari ternakan daripada berkeliaran ke kawasan yang berlaku penularan wabak itu,” katanya.

Sementara itu, penternak, Salleh Mat Ali, 63, dari Kampung Surau Haji Daud berharap penularan penyakit HS itu dapat ditangani segera sebelum ia merebak ke kawasan lain.

“Selain pemantauan dijalankan JPV, penternak perlu memberi kerjasama kepada jabatan dalam merawat dan menangani wabak berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 3:18am
d