mutakhir

Agih 550kg beras di tiga kampung

Cox’s Bazar: “Tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan kami dan pastinya kami amat bersyukur dengan bantuan fidyah yang diterima ini.

“Pengagihan fidyah berbentuk beras ini datang tepat pada masanya memandangkan kini bulan Ramadan selain dugaan Taufan Mora yang melanda, di sini,” kata Imam Madrasah Darul Ulum, Md Rajib.

Rajib berkata, bantuan diterima amat membantu penduduk di situ yang dihimpit kesusahan hidup serta kekurangan makanan.

“Perkampungan ini terletak di Ramu iaitu berdekatan kem pelarian etnik Rohingya.

“Ada 200 penduduk yang masih hidup dalam kedaifan di kawasan ini. Walaupun kami bukan etnik Rohingya tetapi kami bersyukur dengan sumbangan yang diberikan,” katanya.

Md Rajib ditemui Harian Metro ketika bersama rombongan badan bukan kerajaan (NGO) EZ Qurban Sdn Bhd pada program Prihatin Ummah Ramadan di wilayah ini.

Ketua Misi EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Amir Zahari berkata, pada program kali ini 550 kilogram (kg) beras diagihkan di tiga perkampungan di dua wilayah.

“Pengagihan beras fidyah dilakukan di tiga tempat iaitu di Masjid Jamek Joiggasola, Chittagong serta Madrasah Darul Ulum dan Masjid Jamek Tongo Depa di Cox’s Bazar.

“Selain pengagihan fidyah, kami juga menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit kepada kampung yang terbabit dengan kemusnahan Taufan Mora,” katanya.

Muhammad Amir berkata, program sumbangan ini diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di negara Islam.

“Bantuan ini bukan saja disalurkan di Bangladesh malah kita akan ke negara lain seperti negara minoriti Islam,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 3:42am
d