mutakhir

Puasa puasa pun menipu

Oleh Syaherah Mustafa

PEJABAT Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Lundang, Kota Bharu menerima panggilan bom palsu, 10.20 pagi hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memberitahu terdapat beberapa kawasan yang dipasang bom di pejabat MAIK.

Katanya, pihaknya terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan ancaman terbabit.

"Pihak polis dari Unit Pemusnah Bom meminta semua kakitangan agar keluar daripada pejabat masing-masing sepertimana dalam prosedur operasi standard(SOP).

"Kesemua lebih 200 kakitangan diarahkankeluar ke tempat selamat sementara membuat pemeriksaan teliti di kawasan yang dipercayai dipasang bom.

"Segala urusan pejabat tergendala buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak polis dan untuk keselamatan staf dan orang awam yang datang ke sini," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Selain bangunan MAIK, Kompleks Islam Lundang turut menempatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan Jabatan Mufti Kelantan.

Tinjauan mendapati kakitangan MAIK dibenarkan masuk ke pejabat jam 12.45 tengah hari selepas disahkan selamat.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 2:59pm
d