mutakhir

Api sambar baju

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BUDAK lelaki melecur selepas minyak tanah yang digunakan untuk bermain meriam tertumpah sebelum menyambar bajunya di Kampung Sessang Hulu, Saratok, Kuching, Ahad lalu.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Muhammad Izhan Hasyim, 9, melecur pada bahagian pipi dan telinga kiri, tangan serta badan.

Ibunya, Fatimah Mohd Zain, 40, berkata, ketika kejadian, anaknya bersama seorang lagi rakan sekampung mahu bermain meriam namun tidak menyedari minyak tanah yang di bawa di dalam botol terkena pada baju.

Menurutnya, ketika mencucuh meriam berkenaan, api tiba-tiba menyambar baju anaknya sebelum dipadamkan penduduk kampung yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

"Saya membawanya ke Klinik Kesihatan Nyabor sejurus kejadian sebelum dimasukkan di Hospital Saratok. Namun doktor meminta anak saya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemantauan pakar.

"Pembedahan mengambil kulit paha kanan sudah dijalankan Isnin lalu untuk menampal bahagian perut dan dada yang terbakar," katanya ketika ditemui, di HUS, di sini, hari ini.

Dia berkata, setakat ini doktor memaklumkan kecederaan yang dialami menunjukkan perkembangan positif namun masih memerlukan pemantauan rapi daripada pakar kulit.

Katanya, dua lagi anaknya berusia 12 dan lapan tahun kini dijaga saudara di kampung kerana dia perlu berada di HUS untuk menjaga anak keduanya itu.

"Apa yang terjadi ini sememangnya mengejutkan kerana anak saya (Muhammad Izhan) tidak pernah bermain meriam sebelum ini. Namun atas pelawaan rakan sekampung dia mencuba tanpa memikirkan bahaya.

"Saya berharap kecederaan yang dialaminya ini dapat sembuh sepenuhnya menjelang Aidilfitri ini dan dia dapat meneruskan persekolahan seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 3:32pm
d