mutakhir

Tiga tokan dadah tumpas

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS menahan tiga tokan dadah dan merampas heroin, ganja, syabu dan pil erimin 5 bernilai kira-kira RM5,000 di Felda Selancar 2, Rompin, hari ini.

Dalam serbuan 2.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin itu, polis memeriksa tiga lelaki berusia 29 hingga 34 tahun di sebuah rumah sebelum menemui pelbagai jenis dadah bersama wang tunai berjumlah RM5,330.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dadah jenis heroin seberat 167.07 gram (g), ganja (43.67 g), syabu (2.88 g) dan pil erimin 5 (0.23 g) ditemui pada semua suspek yang menyembunyikannya di dalam beg kecil selain di poket seluar mereka.

"Polis turut merampas tujuh telefon bimbit selain alat penimbang digital dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka memperoleh bekalan dadah daripada pengedar di Johor dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek yang masih bebas.

Azli berkata, semua suspek yang ditahan positif dadah dan mereka turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 4:03pm
d