mutakhir

Tergelincir, senapang meletup

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI cedera pada paha kanan dan betis kirinya selepas terkena peluru penabur dari senapang ketika berburu di Hutan Ulu Beruan, Limbang, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 49 tahun dikatakan berseorangan berburu di hutan berkenaan sebelum tergelincir.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, disebabkan tergelincir, senapang patah yang dibawa mangsa tiba-tiba meletup dan peluru penabur berkenaan terkena pada paha kanan dan betis kirinya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa membatalkan hasratnya untuk memburu di hutan berkenaan sebelum bergegas keluar dari kawasan berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang berlumuran darah kemudiannya mendapat bantuan daripada orang awam sebelum di hantar ke Hospital Limbang untuk rawatan kecemasan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Miri kerana kecederaan yang dialami agak serius kerana peluru perlu dikeluarkan dari bahagian paha dan betisnya dengan segera.

Katanya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas pihak Hospital Limbang membuat laporan polis jam 8.38 malam semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai lesen untuk memiliki dan menggunakan senapang patah dalam kejadian berkenaan.

"Usaha melawat tempat kejadian dan mengesan senapang patah berkenaan sudah dibuat tetapi gagal kerana keadaan bentuk muka bumi yang berbukit dan memerlukan mangsa menjadi pandu arah untuk mendapatkan semula senjata api berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 5:32pm
d