mutakhir

Lagi pengedar mercun dicekup

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI berusia 33 tahun ditahan bersama pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM6,000 dalam serbuan di stor di belakang bengkel kereta miliknya di Jalan Kampung Tebing Tembah, Dungun, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira 1 pagi hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, hasil pemeriksaan di dalam stor itu menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api seperti dua guni mercun bola, 50 kotak mercun Fatt Chayhung Crackers, 40 kotak mercun Red-Bylay dan 40 kotak mercun Gong Eggs yang dianggarkan bernilai RM6,000.

"Hasil siasatan suspek memaklumkan bekalan itu diambil daripada pengedar di Kelantan dan mengaku mengambil sendiri bekalan itu di Paka.

"Suspek turut mengaku belum sempat menjual mercun yang dibelinya dan menjadikan stor di belakang bengkel kereta miliknya sebagai tempat menyimpan bahan terlarang itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pengedar utama bahan terlarang itu dan bekalan mercun itu dipercayai untuk pasaran di sekitar daerah ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 5:37pm
d