mutakhir

Empat cedera, kenderaan bertembung

Oleh Balqis Jazimah Zahari

EMPAT cedera dalam kemalangan membabitkan van syarikat kawalan keselamatan dengan Toyota Innova di Jalan Lim Bo Seng, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, kedua-dua kenderaan terbabit bertembung secara berdepan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mahmud Azzadin Najamuddin berkata, dua pekerja dalam van keselamatan berusia 52 dan 42 tahun cedera termasuk seorang patah peha.

"Toyota Innova pula dinaiki dua beranak dengan remaja lelaki berusia 16 tahun dipercayai patah kaki dan bapanya berusia 42 tahun cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, van keselamatan itu dikatakan baru mengambil wang tunai dari bank berhampiran dan pekerjanya lengkap bersenjata api.

"Menurut maklumat, van keselamatan itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika melalui jalan berselekoh hingga menyebabkan bertembung dengan Toyota Innova.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta ambulans untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Mahmud Azzadin berkata, kerja menyelamat dilakukan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk unit EMRS serta tamat sepenuhnya pada 3.21 petang.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 6:32pm
d