mutakhir

Tiada siapa akan dilindungi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Lembaga Penyiasatan Khas bagi menyiasat kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, minggu lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lembaga penyiasatan itu dipengerusikan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Beliau berkata, ATM juga sudah diarahkan untuk menilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

"Ketika ini, saya sedang menunggu laporan daripada lembaga penyiasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian, sekali gus mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan termasuk menemuramah rakan arwah akan dilaporkan terus kepada saya.

"Dalam perkara ini, saya amat konsisten bahawa sesiapa yang terbabit dan didapati bersalah mesti dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya beri jaminan tiada siapa pun akan dilindungi dalam kes ini. Ini janji saya kepada keluarga arwah," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman di Bandar Uda Utama di sini, hari ini.

Hishammuddin tiba di kediaman keluarga penuntut UPNM itu pada 4.30 petang dan meluangkan masa hampir 40 minit selain turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham Zulfarhan Osman yang juga pelajar jurusan kejuruteraan elektrik UPNM meninggal dunia pada Khamis lalu dipercayai akibat didera rakan menggunakan seterika wap.

Berita berkaitan

Cari bomoh yang petik nama arwah

Kejam, hilang sudah perikemanusiaan [METROTV]

Damailah di sana Zulfarhan

Baju raya Allahyarham dah siap

[UPDATE] 36 penuntut direman

Penuntut UPNM mati didera

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 6:51pm
d