mutakhir

Habib Rayyan dah pulang, kembali ceria...

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Muhammad Habib Rayyan Rosli, 5, yang menghidap penyakit kegagalan hati kronik atau Budd Chiari Syndrome selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, 11 malam ini.

Muhammad Habib tiba bersama ibu bapanya, Rosli Mohd Noh, 40, dan Azlina Ahmad, 35, selepas bertolak dari Shanghai, China pada 3.25 petang.

Mereka disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Hadir sama, beberapa wakil dari Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) serta ahli keluarga.

Norsabrina berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana Muhammad Habib selamat pulang ke tanah air dalam keadaan sihat dan kembali ceria selepas menjalani pembedahan hati pada 11 Mei lalu.

"Saya bersyukur apabila Azlina semakin sihat selepas menjalani pembedahan pemindahan hati kepada Muhammad Habib dan berharap mereka kembali sihat seperti biasa.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak membantu menghulurkan sumbangan kewangan termasuk kerjasama baik dari Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata) dan KELSS,"katanya.

Sementara itu, Harian Metro pada 14 April 2014 melaporkan, Azlina sanggup berkorban dengan mendermakan hatinya kepada Habib memandangkan penyakit anaknya berada di dalam tahap kronik.

Penderitaan Habib mendapat perhatian Norsabrina yang melancarkan tabung bantuan bagi membantu Azlina membiayai perubatan Habib termasuk mendapat bantuan daripada Pengarah Tourism Malaysia di Shanghai.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 1:09am
d