mutakhir

Pasangan, enam tetamu dicekup AADK

Kepala Batas: Tuan rumah yang juga sepasang suami isteri serta enam ‘tetamunya’ dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Utara (SPU) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lembah, Penaga, di sini, tengah malam semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, mereka sedang melepak serta berbual di ruang tamu rumah sebelum ujian air kencing mendapati semuanya positif dadah.

Ketua Penguat Kuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang Nasru’d-din Abdul Rahman berkata, pada awalnya, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai salah laku pasangan suami isteri berkenaan.

“Tetapi ketika serbuan dibuat, tidak sangka pasangan suami isteri itu ada tetamu dan selepas ujian air kencing dibuat, semua mereka positif dadah jenis methapetamine dan morfin.

“Pasangan yang mempunyai dua anak lelaki berusia dua dan empat tahun itu mengaku mengambil dadah selain membenarkan rumah mereka dijadikan port menghisap dadah dan ketika serbuan, anak pasangan berkenaan sedang tidur di dalam sebuah bilik di rumah itu,” katanya.

Beliau berkata, si suami bekerja sebagai buruh berusia 49 tahun mengaku mengambil dadah lebih dari dua tahun manakala isterinya berusia 33 tahun mengambil dadah sejak setahun lalu.

Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit cuba melarikan diri ke kawasan sawah padi berhampiran, namun ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya merampas dua peket dadah jenis heroin seberat 1 gram.

“Semua lelaki dan wanita berumur antara 20 dan 60 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 5:50am
d