mutakhir

Kereta berlubang ditembak

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang kerani lelaki dalam kebimbangan apabila kereta dan kediamannya ditembak penjenayah di Taman Dato’ Raja Haniffah, di sini, semalam.

Sumber berkata, kejadian berlaku jam 6.50 pagi ketika mangsa berusia 50 tahun tidur sebelum terdengar bunyi tembakan.

Katanya, lelaki itu bergegas keluar dari kediaman dan mendapati kereta Toyota Altis diletakkan di halaman rumahnya berlubang akibat ditembak.

“Pemeriksaan mendapati cermin sisi serta belakang kenderaan pecah dan tembakan turut terkena dinding rumah,” katanya.

Kata sumber, mangsa memeriksa sekeliling kediaman, namun tidak menemui individu terbabit yang dipercayai melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.

“Mangsa percaya perbuatan itu dilakukan individu tidak berpuas hati dengannya lalu membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell, di sini jam 8.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurut sumber, mangsa turut menemui seketul tembaga di kawasan parkir kereta di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:02am
d