mutakhir

Ubah persepsi negatif [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Mahu mengubah persepsi negatif mengaitkan pelajar kitab turath sebagai selekeh dan tidak mempunyai masa depan antara penyebab Nik Muhammad Sofi Danial Aziz, 17, menyertai program al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab.

Nik Muhammad Sofi berkata, dia antara pelajar perintis tingkatan lima di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Besut yang memilih mendalami bidang agama menggunakan kitab turath.

“Minat menjadi profesional Muslim yang berjaya dalam bidang akademik dan pada masa sama menghafaz 30 juzuk al-Quran mendorong saya mengikuti program ini.

“Antara kitab digunakan ialah Matan Baiquniyyah, Mustalah Hadis dan banyak lagi dalam bahasa Arab serta Melayu,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan itu, konsep pendidikan bersepadu menyasarkan pelajar menghafal al-Quran dalam masa tiga tahun dan pada masa sama cemerlang dalam akademik menarik minatnya belajar di sekolah itu.

“Modul Imtiaz yang unik dan menyeluruh dalam pelbagai bidang amat menarik dan sewajarnya dijadikan contoh kepada sistem pendidikan negara.

“Pelajar di sini bukan saja mencipta kecemerlangan dalam akademik, tetapi kokurikulum dan turut menceburi bidang baru seperti kelas bahasa Mandarin, kelab avionik serta banyak lagi,” katanya.

Katanya, jika diikutkan memang jadual padat di sekolah itu namun sekiranya mengikut modul ditetapkan dan tekun belajar, pelajar dapat menghafal al-Quran dengan baik dan cemerlang dalam akademik.

Antara anugerah dimenangi sekolah itu ialah Anugerah PMR Terbaik Kebangsaan Kategori Sekolah Agama (2012), Anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi KPM (Kohort 2/2010), Anugerah SPM Terbaik Kategori SABK (2012), Anugerah Pengurusan Cemerlang Sekolah Menengah Terbaik Negeri Terengganu JPNT (2012), Anugerah Kecemerlangan SPM Kebangsaan (2013), Anugerah Sekolah Cemerlang YT (2013) dan Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan (2015).

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:14am
d