mutakhir

'Selagi terdaya'

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Tiada siapa tahu aturan takdir buat Muhammad Rafiq Ali Abdul Karim, bayi berusia sembilan bulan yang menderita penyakit otak tidak berkembang (microcephaly) sehingga mengakibatkan masalah pada tulang belakang selain tulang lehernya tidak kuat.

Namun, selagi dipinjamkan amanah ini, ibunya, Noor Asikin Mazlan, 33, tidak akan berputus asa memberikan yang terbaik walaupun terpaksa mengorbankan segalanya kerana Muhammad Rafiq juga mempunyai masalah pernafasan serta kedua-dua kaki bengkok sejak dilahirkan.

Ibu dua anak ini berkata, ketika kandungannya berusia tujuh bulan, doktor pada mulanya mengesyaki bayi dalam kandungannya menghidap virus zika sebaik saja mendapati ukur lilit kepala bayinya tidak normal dengan usia kandungan.

“Bagaimanapun, apabila dia dilahirkan doktor mendapati kepalanya kecil, kedua-dua kaki bengkok, pernafasan tidak stabil dan tidak boleh menghisap susu secara normal menyebabkan doktor terpaksa memasukkan tiub di hidungnya.

“Selepas melakukan pemeriksaan lanjut dan ujian kesihatan, doktor mengesahkan otak Rafiq tidak membesar, begitu juga proses tumbesarannya terbantut,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Muhibah, di sini, semalam.

Noor Asikin berkata, doktor memaklumkan penyakit otak tidak berkembang dihidapi bayinya tidak mempunyai harapan cerah untuk pulih, begitu juga usianya dijangka tidak lama.

“Saya tidak tahu berapa lama Rafiq boleh bertahan kerana tidak sanggup untuk bertanya pada doktor. Dulu ketika arwah ibu saya menghidap kanser rahim, doktor menjangkakan dia hidup dalam tempoh setahun namun tidak sampai beberapa bulan ibu pergi.

“Saya akan berusaha apa yang terdaya seperti mengikuti temu janji bersama pakar sebanyak dua kali sebulan untuk pemeriksaan otaknya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HOSHAS) selain menjalani fisioterapi untuk kakinya di klinik kesihatan di sini,” katanya yang memaklumkan, anaknya turut disyaki mempunyai penyakit jantung berlubang.

Katanya, bayinya yang tidak mampu menyusu secara nomal terpaksa diberi susu melalui tiub di hidung.

“Rafiq memang bergantung sepenuhnya pada susu tepung. Dulu doktor mencadangkan susu khas untuk memastikan kesihatannya tapi saya tak mampu dengan gaji suami (Abdul Karim Mohamad Ali, 31) sebagai penebar roti canai sebanyak RM50 sehari.

“Mujur, susu formula yang diguna sekarang serasi dengannya, jadi lebihan duit itu boleh menampung kos ke HOSHAS,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Noor Asikin boleh menghubunginya di talian 012-4041847.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:19am
d