mutakhir

3 kereta turut hangus

Pendang: “Saya sedang solat Zohor pada rakaat kedua, sebelum dipanggil oleh cucu yang memaklumkan ada letupan pada meter elektrik rumah kami,” kata Ismail Saad, 73, mangsa kebakaran di Kampung Jelutong, Mukim Tobiar di sini, petang kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 1.50 petang itu, rumah berserta tiga kereta dan motosikal miliknya serta ahli keluarga musnah.

Ismail berkata, dia yang terkejut dengan panggilan cucunya berusia 11 tahun itu terpaksa menghentikan solat dan bergegas memeriksa kotak meter elektrik terbabit yang terbakar.

“Saya cemas dan segera keluar meminta bantuan jiran, namun ramai tiada di rumah kerana bekerja,” katanya.

Katanya, dia kemudiaan meminta isterinya Azizah Awang, 67, untuk membawa ibunya Mariam Awang, 90, dan seorang cucu mereka keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

“Isteri menelefon anak kami yang bekerja di kilang berdekatan sebelum dia pulang bersama rakan dan membantu mengawal api sementara menunggu anggota bomba tiba,” katanya.

Ismail berkata, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang peralatan rumahnya serta baju raya yang baru dibeli dan hanya sempat mengambil kad pengenalan diri serta geran tanah.

Katanya, rumahnya itu dibina pada 1971 dan tidak menyangka ia akan musnah dalam kebakaran namun reda dan menganggap kejadian sebagai ujian Allah SWT.

“Saya juga berharap akan ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk membantu kami membina semula rumah yang rosak ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:40am
d