mutakhir

Bayi ditinggal di pondok tenat

Kampung Gajah: Tindakan meninggalkan bayi lelaki yang baru dilahirkan di bawah pondok di Kampung Pulau Juar, di sini, sehingga mangsa berada dalam keadaan tenat adalah sangat tidak berhati perut.

Difahamkan, bayi yang masih bertali pusat seberat 2.47 kilogram (kg) itu ditemui berbalut kain dan diletakkan dalam pondok berkenaan sebelum ditemui pemilik rumah berdekatan jam 7 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki yang menjumpai bayi berkenaan membuat laporan polis sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, selepas pemeriksaan, bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan tenat akibat ditinggalkan dalam keadaan kesejukan.

Katanya, bayi itu kini menerima rawatan lanjut dan ditempatkan
di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

“Ujian darah dijalankan untuk mengesan jika ada penyakit lain selain rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:59am
d