mutakhir

Terperosok bawah lori

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SEORANG pekerja kilang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok di bawah lori di Kilometer 5, Jalan Sungai Kota, Tanjung Piandang, Parit Buntar, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Samsul Kadir, 29, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Parit Buntar selepas cedera parah di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, selepas selesai bekerja, meninggal dunia pada 6.55 petang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa melanggar lori yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke bawah kenderaan berat itu.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 8:19am
d