mutakhir

Sambung ops SAR warga emas hilang

Oleh Junaidi Ladjana

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) masih giat mencari lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di dalam hutan Mangkupa, Kampung Popok, dekat Kota Marudu.

Mangsa, Yanting Baran, 68, dikatakan hilang ketika keluar bersama anak dan menantunya mencari pucuk nipah di kawasan hutan Mangkupa, kira-kira jam 8 pagi, 6 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis 7.39 pagi semalam daripada anak perempuan mangsa.

"Mangsa dikatakan menunggu anak dan menantunya berdekatan dengan kereta mereka selepas selesai mengambil pucuk nipah di dalam hutan berkenaan.

"Selepas anak dan menantunya kembali ke kereta, mangsa tiada. Mereka cuba mencari mangsa namun gagal lalu pulang dan menunggu mangsa di rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga semalam mangsa masih belum pulang menyebabkan mereka membuat laporan polis untuk bantuan mencari mangsa.

"Operasi SAR yang disambung pagi hari ini masih belum menemui mangsa," katanya.

Operasi SAR membabitkan kekuatan 48 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia Daerah Kota Marudu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 3:24pm
d