mutakhir

Pengawal peribadi gagalkan samun

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG penjenayah cedera ditembak manakala seorang lagi melarikan diri dalam kejadian samun di hadapan sebuah bank di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang bergelar Datuk Seri berusia 58 tahun dan pengawal peribadinya baru selesai mengeluarkan wang tunai kira-kira RM200,000 dari bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal dan bersenjatakan parang serta kapak menyerang mangsa untuk merampas wang berkenaan.

Menurutnya, berikutan itu pengawal peribadi mangsa melepaskan tembakan dan mengenai punggung salah seorang suspek.

"Wang tunai itu gagal dibawa lari namun seorang suspek berjaya meloloskan diri.

"Pengawal dipercayai melepaskan beberapa das tembakan sehingga mengenai suspek," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Shafien berkata, suspek yang cedera kini dirawat di Hospital Shah Alam manakala pengawal peribadi dan Datuk Seri yang turut cedera ringan dibawa ke hospital di Klang.

Katanya, polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 6:31pm
d