mutakhir

Ramai golongan muda tak daftar sebagai pemilih

Oleh Idris Musa

MASIH ada 3.8 juta orang yang layak mendaftar sebagai pemilih belum berbuat demikian, dengan majoritinya adalah anak muda, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Menurutnya, daripada kira-kira 18 juta orang yang layak mengundi, hanya 14.3 juta orang yang mendaftar.

"Dulu lagi, kita mempunyai masalah pendaftaran pemilih. (Jadi) kita ubah pendekatan dan kenal pasti orang yang berumur 21 tahun iaitu sebahagiannya di institusi pengajian tinggi.

"Saya sendiri masuk ke universiti, berjumpa dengan pelajar dan minta supaya mereka keluar untuk mendaftar," katanya pada sidang media sempena Program Pendidikan Pengundi Generasi Penggerak Demokrasi di Kolej Komuniti Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

Program berkenaan katanya, adalah satu modul pendidikan pengundi yang memberi tumpuan kepada golongan muda untuk mengenali serta memahami sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.

Katanya, ia akan membabitkan sasaran seramai 134,176 pelajar atau belia di 180 institusi pengajian tinggi.

"Bermula Februari lalu, SPR menjelajah ke sembilan universiti dan kolej, dan berjaya mendaftarkan kira-kira 1,000 pelajar dan belia. SPR menjangkakan akan mendaftar lebih ramai lagi pengundi baru.

"Apabila sampai waktu hendak mengundi, mungkin pada masa itu kita galakkan pula mereka untuk keluar mengundi. (Sebab) daftar mengundi saja tak cukup, kalau tak keluar mengundi," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 8:44pm
d