mutakhir

'Kami akan buat secepat mungkin...'

Oleh Zulfa Mohamad

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi termasuk daripada pengurusan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes membabitkan agensi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa dokumen berkenaan operasi FGV dan akan memanggil saksi untuk dirakamkan percakapan mereka bagi membantu siasatan kes.

Katanya, proses mengambil keterangan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan kemelut FGV yang dibangkitkan ketika ini dapat diselesaikan segera.

"Kami akan memanggil beberapa saksi termasuk pemimpin tertinggi pengurusan FGV dan kakitangan bawahan bagi membantu siasatan.

"Kami akan buat secepat mungkin tetapi jika keterangan terpaksa diambil di luar negara, ia akan mengambil sedikit masa," katanya selepas mengagihkan bubur lambuk sempena program Ihya Ramadan di Masjid Al-Jamiul Badawi, dekat Kepala Batas, petang ini.

Sebanyak 1,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada jemaah masjid dan orang ramai bermula jam 5 petang. Turut hadir, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban.

Dzulkifli berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan dengan profesional dan telus bagi memastikan kes dapat diselesaikan dengan baik.

Kemelut FGV timbul selepas Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Samad meragui urus niaga dijalankan anak syarikat agensi itu, Delima Oil Produk Sdn Bhd sehingga Presidennya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad diberi surat bercuti agar siasatan dapat dijalankan SPRM.

Zakaria pula mengalu-alukan siasatan dijalankan SPRM dan sedia memberi kerjasama bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 9:09pm
d