mutakhir

'Selagi rezeki itu halal...' [METROTV]

Oleh Mohd Hanafis Abd Haris

PANAS terik, bau busuk, dan sering diberi 'pandangan sinis' oleh orang yang lalu lalang yang menganggap pekerjaanya menjijikkan, namun ia bukan penghalang untuk tukang sapu, Latif Jaafar, 59, mencari rezeki halal menampung kehidupannya sekeluarga.

Bukan itu saja, jumlah sampah yang meningkat berikutan bazar Ramadan sepanjang Ramadan, sedikit sebanyak memberi cabaran baginya.

Bagaimanapun, menurut Latif, bagi dirinya yang sudah bergelumang selama 20 tahun dengan sampah sarap, ia dianggap sebahagian daripada asam garam sebagai tukang sapu.

"Bau busuk itu biasalah sebagai tukang sapu sampah. Tapi kalau kita ikhlas, kotor pun boleh jadi sumber rezeki. Paling penting niat kerja perlu betul untuk sara diri dan keluarga," katanya.

Menceritakan lebih lanjut Latif berkata, ketika Ramadan, adakalanya dia terpaksa bersahur di tempat kerja.

"Ini antara cabaran tukang sapu beragama Islam pada bulan puasa. Disaat individu lain bersahur bersama keluarga, kami sebaliknya bersahur di lokasi kami ditugaskan bekerja iaitu seawal 4.30 pagi," katanya bapa kepada tiga orang anak ini.

Menurutnya, tidak dinafikan setiap kali tiba Ramadan, jumlah sampah sarap dibersihkan akan menjadi perbualan hangat dalam kalangan mereka.

"Ketika Ramadan, adakalanya jumlah sampah sarap itu lebih banyak berikutan adanya bazar. Namun ia bukanlah alasan untuk saya malas bekerja.

"Paling penting sepanjang Ramadan ini, sahur jangan terlepas biarpun sebiji kurma kerana banyak tenaga diperlukan. Selain itu, saya bersyukur kerana rakan sekerja bukan beragam Islam turut sama-sama membantu jika ada lebihan sampah yang perlu dibersihkan," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh 20 tahun, dia menyara keluarganya dengan menyapu dan membersihkan sampah sarap di sekitar Kuala Lumpur khususnya di sekitar Bangsar dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Alhamdulillah ketiga-tiga anak sudah besar dan dua daripadanya sudah mempunyai pekerjaan. Prinsip hidup saya mudah, selagi rezeki itu halal, ia sudah memadai," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Bangsar, hari ini.

Sementara itu, rakan sekerjanya, S Selvakumar, 58, berkata, dia tidak kisah dengan pandangan serong orang ramai terhadap pekerjaannya kerana itu saja pilihannya bagi menyara isteri dan lima anaknya.

Malah kecacatan pada mata kanan dialami Selvakumar tidak menghalang buat dirinya untuk mencari sumber pendapatan.

"Saya juga sudah 20 tahun bekerja di Alam Flora Sdn Bhd. Sampah sarap sudah sebati dengan diri, malah saya tidak kisah dengan tanggapan orang ramai dengan pekerjaan ini," katanya.

Difahamkan Alam Flora Sdn Bhd kini mempunyai seramai 1,200 pekerja sektor pembersihan dan daripada jumlah itu seramai 453 pekerja ditugaskan di sekitar Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 10:56pm
d