mutakhir

Sikit pun tak goyah

Oleh Rudy Imran Shamsudin

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Shukri Yahaya menjelaskan dakwaan dibuat seorang peminat membabitkan kononnya aktor itu telah menghantar mesej dan meminta gambar lucah, sedikit pun tidak mengoyahkan hubungannya dengan isteri juga pelakon, Tya Adnan.

Shukri telah berkahwin dengan Tya Adnan pada 20 November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Aaira Ameena yang lahir pada 24 Ogos 2016.

Bagaimanapun jelas pelakon utama drama popular, Andainya Takdir itu, sudah tentu paling terkesan dengan dakwaan dibuat peminat wanita terbabit adalah keluarganya.

Jelas Shukri sewaktu dihubungi, di sini, petang tadi, sebaik isu ditimbulkan mula hangat diperkatakan, dia membuat keputusan untuk berada di sisi keluarga.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat mengenai cubaan pihak terbabit yang cuba membusukkan nama saya, bagaimanapun situasinya ketika ini seperti saya telah melakukan kesalahan besar,” katanya.

Ditanya kemungkinan dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita itu, seperti apa yang disarankan oleh peminat yang lain, kata Shukri, dia sebaik mungkin tidak mahu memanjangkan isu ditimbulkan.

“Kalau boleh saya tidak mahu panjangkan perkara bodoh ini dan terheret dengan kebodohan yang cuba dilakukan pihak terbabit. Bagaimanapun sekira ia masih berlarutan, barulah saya akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pagi semalam seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai Sarah Danielle telah berkongsi satu mesej perbualan bersama seorang pelakon terkenal.

Mesej berbaur godaan itu kononnya perbualannya bersama Shukri dan turut menggambarkan dia kurang senang dengan mesej-mesej diberikan pelakon itu.

Dalam kenyataan awal mengenai isu ditimbulkan, Shukri berkata wanita itu cuba meraih populariti menerusi laman sosial miliknya dengan memuat naik perbualan yang dianggap pendedahan palsu memandangkan dengan kemajuan teknologi komunikasi sekarang, semua orang boleh menjadi dirinya dengan meletakkan gambar profile wajahnya seterusnya menyamar dan berbalas mesej.

Disiarkan pada: June 10, 2017 @ 5:38pm
d