mutakhir

Bukan kelas kedua

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Walaupun kekok dan berdepan banyak cabaran ketika mula mendiami Madrasah Raudhah al-Muhibbin atau Pondok Pok Kob namun Mohamad Amirul Irfan Mohd Ali, 17, tidak menganggapnya sebagai penghalang untuk belajar agama secara tradisional menggunakan kitab turath.

Malah sejak menuntut ilmu di pondok itu tiga tahun lalu, banyak perubahan positif dialami dan lebih bermakna dua lagi adiknya iaitu Mohamad Hadi Danial, 16, dan Mohamad Harith Danial, 15, turut belajar di tempat sama.

Mohamad Amirul Irfan berkata, pengajian pondok masih kekal relevan dan tidak boleh dianggap kelas kedua kerana ilmu yang diajar terutama fardu ain adalah kunci dan asas kepada ilmu lain.

Katanya, walaupun tidak moden dan bernaung di bawah mana-mana pihak, pondok di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Hussain Haji Abdul Rahman atau Pok Kob, 60, tetap menjadi pilihan ramai ibu bapa menghantar anak mereka belajar agama.

“Namun disebabkan jumlah pondok terhad, Pok Kob terpaksa menolak dan menangguh dulu permintaan kemasukan pelajar baru.

“Apabila ada kekosongan disebabkan pelajar berhenti atau berhijrah ke pondok lain untuk melanjutkan pengajian, baru Pok Kob menerima pelajar baru yang berusia 15 tahun ke bawah,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Dia yang kini belajar di kelas tinggi bersama Pok Kob berkata, belajar di pondok banyak mengajarnya berdikari terutama dari segi pengurusan hidup seperti membasuh baju sendiri.

“Dalam komuniti kecil ini kami banyak belajar ilmu sampingan daripada kawan seperti bertukang dan membaiki kerosakan.

“Kalau ada kerosakan atau gotong-royong membaiki kerosakan pondok, kami akan melakukannya bersama dan secara tidak langsung dapat belajar ilmu baru serta mengeratkan silaturahim,” katanya.

Katanya, pada hujung minggu pula mereka akan mengikuti kelas pengajian bahasa Inggeris dan Mandarin yang dikendalikan beberapa sukarelawan.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 12:36am
d