mutakhir

Terkejut bunyi penggera

Oleh Norizuan Shamsuddin

TIGA suspek gagal melarikan barangan kemas dalam rompakan di kedai emas di pasar raya di Jalan SS6/12, Kelana Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian berlaku ketika pekerja premis memulakan perniagaan, kira-kira 12 tengah hari tadi.

"Suspek meluru masuk ke dalam premis dan mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah pekerja dan seorang daripada mereka memecahkan cermin almari pameran, namun gagal melarikan barang kemas apabila penggera keselamatan berbunyi.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua motosikal dipercayai model Yamaha 135 LC dan skuter," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Petaling Jaya, hari ini.

Zani berkata, susulan kejadian Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan.

Jelasnya, kejadian tidak menyebabkan kecederaan kepada pekerja premis berkenaan.

"Bagaimanapun, jumlah kerugian masih di dalam siasatan.

"Pihak polis sedang berusaha mengenal pasti serta mengesan suspek terbabit untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan keranan cubaan merompak.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 6:09pm
d